Berita Terkini

Jasa Dijenamakan Semula Sebagai J-KOM Dengan Peranan Berbeza


KUALA LUMPUR –
Kerajaan bersetuju untuk menjenamakan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan peranan dan fungsi berbeza, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata matlamat J-KOM adalah untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat iaitu bagi menyampaikan maklumat kerajaan yang tepat, sahih dan bijaksana kepada rakyat, selain mendengar suara dan maklum balas daripada rakyat.

“Kaedah yang digunakan ialah dengan cara membangunkan komuniti, khususnya di peringkat akar umbi, yang mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna dan fokus patriotisme dengan menggunakan pendekatan ‘penghakupayaan komuniti’,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin turut memaklumkan bahawa fungsi J-KOM juga berbeza dengan Jabatan Penerangan (Japen) kerana tugas utama J-KOM pada waktu ini adalah melaksanakan komunikasi strategik membudayakan normal baharu susulan pandemik COVID-19.

Japen pula, katanya bertujuan memberi kefahaman mengenai sesuatu dasar, program dan inisiatif kerajaan dengan memberi keutamaan kepada komunikasi. – BERNAMA

______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form