KUALA LUMPUR: Kesan pandemik COVID-19 kepada ekonomi negara hanya bersifat sementara dan ekonomi negara dijangka kembali berkembang tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata jangkaan itu berdasarkan beberapa petunjuk ekonomi yang mencatatkan prestasi lebih baik dalam tempoh Julai hingga September.
Katanya, dalam tempoh itu jumlah eksport meningkat sebanyak 13.6 peratus manakala jualan borong dan runcit meningkat 2.5 peratus.
"Jualan kenderaan penumpang pula bagi tempoh Julai hingga September juga meningkat 8 peratus dan pasaran buruh kekal dengan kadar pengangguran sebanyak 4.7 peratus," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BERSATU - Sabak Bernam) yang ingin mengetahui impak ekonomi daripada pandemik COVID-19 khususnya kepada individu, isi rumah dan syarikat perniagaan serta pelbagai sektor ekonomi negara keseluruhannya serta nyatakan dasar, mekanisme dan langkah untuk memacu ekonomi ke arah berdaya tahan dan mapan.
Mustapa menjelaskan dengan mengambil kira kedudukan ekonomi terkini, ekonomi negara dijangka menguncup 5.5 hingga 3.5 peratus tahun ini.
Katanya, ekonomi dijangka berkembang semula tahun depan pada kadar 5.5 hingga 8 peratus.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan semula gelombang ketiga kes COVID-19 sebulan lalu sehingga menyebabkan beberapa negeri dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ia mungkin menjejaskan prestasi ekonomi bagi Oktober hingga November.
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily