KUALA LUMPUR: Pembentangan Belanjawan 2021 telah menyaksikan sanjungan tinggi Kerajaan Persekutuan diterajui Perikatan Nasional (PN) terhadap para penjawat awam, tentera, polis dan pesara.
Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, perkara tersebut amat berbeza semasa Kerajaan Persekutuan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang tidak menghargai golongan tersebut.
Sebaliknya ujar beliau, menerusi pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam, Kerajaan PN menzahirkan keprihatinan terhadap pengorbanan golongan tersebut dengan peruntukan yang dikhususkan.
“YB Menteri Kewangan (Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) semasa pembentangan Belanjawan di Parlimen semalam beberapa kali mengulangi penghargaan Kerajaan Persekutuan kepada golongan ini,” ujar beliau yang juga Setiausaha PAS Negeri Kelantan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II ini turut menyatakan bahawa para penjawat awam, tentera, polis dan pesara sewajarnya disanjung kerana menjadi tulang belakang dan penggerak kerajaan.
Malah puji beliau, jentera terpenting kerajaan kepada rakyat ini adalah barisan hadapan yang cekal dan komited ketika negara dan seluruh dunia kini sedang berhadapan cabaran berisiko yakni pandemik COVID-19. – HARAKAHDAILY 7/11/2020
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily