KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Belanjawan 2021 perlu diubah suai menjadi lebih realistik untuk mendapat sokongannya di Parlimen.
Ahli
Parlimen Langkawi itu mengakui, beliau takut kerana belanjawan kali ini
adalah yang terbesar dalam sejarah, tetapi kerajaan tidak mampu
membiayainya ekoran keadaan ekonomi sekarang.
Dakwanya, kerajaan akan mempunyai defisit perbelanjaan sebanyak RM85 bilion.
Ini kerana kerajaan dijangka mengutip hasil sebanyak RM236.9 bilion pada tahun berikutnya, tetapi perlu membelanjakan RM322.5 bilion untuk membiayai belanjawan.
"Soalan saya adalah dari mana wang (untuk membiayai Belanjawan) akan datang.
“Defisit dikatakan sekitar RM85 bilion, lebih besar daripada perbelanjaan pembangunan sejumlah RM69 bilion,” katanya.
Akibatnya, kata Dr Mahathir, kerajaan terpaksa meminjam wang untuk membiayai belanjawan, yang akan meningkatkan hutang negara kepada kira kira RM1.3 trilion.
Beliau berkata demikian dalam catatan terbaharu di blog peribadinya (chedet.cc) pada Isnin.
Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak menjelaskan bagaimana beliau memperolehi unjuran hutang tersebut.
"Semua industri (selain industri sarung tangan getah) terjejas teruk. Saya berpendapat kutipan cukai korporat tidak akan sampai dua pertiga pun daripada kutipan sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu tambah beliau, unjuran prestasi ekonomi dalam belanjawan kali ini juga terlalu optimistik.
Jika ada penemuan vaksin COVID-19 ditemui pada tahun depan, ekonomi negara tidak akan pulih sepenuhnya dalam tahun yang sama, tambahnya.
“Kita masih boleh memotong kos operasi dan pembangunan. Sejak 15 tahun lepas, kadar gaji naik dengan begitu cepat - hingga 25 peratus sekali kenaikan. Menteri dan ahli Parlimen diberi banyak elaun.
“Peningkatannya begitu tinggi sehingga semua orang berminat untuk menjadi ahli Parlimen dan Menteri," ujarnya.
Justeru, Dr Mahathir berkata kerajaan sepatutnya berusaha mengurangkan kos dan mengecilkan belanjawan kali ini.
Ini termasuk memotong 30 peratus gaji menteri, dan 10 peratus gaji penjawat awam yang berpendapatan lebih RM20,000 sebulan.
Menurutnya, wang ini boleh digunakan untuk membeli makanan bagi mereka yang hilang punca pendapatan.
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Tags
Berita