Titah Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengisyaratkan semua pihak perlu menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.
Ini selepas baginda berkenan menerima mengadap Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengenai Belanjawan 2021 hari ini, maklum Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.
"Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada kerajaan serta parti-parti politik di atas semangat bipartisan dan pemuafakatan yang telah ditunjukkan.
"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar kerajaan dapat kiranya memperhalusi dengan sebaik-baiknya cadangan-cadangan yang telah dikemukakan bagi merangka Belanjawan yang bersifat inklusif dan komprehensif, serta berpaksikan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi negara dan pembendungan efektif wabak Covid-19.
"Al-Sultan Abdullah berpendapat amalan kematangan berpolitik dengan mengenepikan perbezaan dan kepentingan parti atau peribadi amatlah penting pada ketika ini demi keselamatan dan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat bencana wabak Covid-19," kata Ahmad Fadil pada satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Fadil, Agong bertitah "sesungguhnya, semangat-semangat sebegini adalah selaras dengan budaya syura yang dianjurkan oleh Islam sebagaimana yang telah dipamerkan oleh Raja-Raja Melayu dalam sesi Perbincangan Khas di Istana Negara pada 25 Oktober, 2020 yang lalu."
"Dalam keadaan kita menghadapi situasi yang sukar dan genting ini, adala wajar kita mendahulukan kemaslahatan masyarakat umum di atas kepentingan individu secara khusus."
Sehubungan itu, Ahmad Fadil menjelaskan Al-Sultan Abdullah "menzahirkan harapan agar semangat kerjasama yang dizahirkan oleh pelbagai pihak dapat diteruskan demi
kesejahteraan rakyat dan negara."
Agong pada 28 Oktober "menasihati" ahli parlimen supaya mendukung Belanjawan 2021, tiga hari selepas baginda menolak permintaan kabinet untuk pengisytiharan darurat yang boleh digunakan untuk menggantung parlimen.
Sejauh ini, Putrajaya telah menunjukkan beberapa tanda bahawa ia bersedia mempertimbangkan pendapat ahli parlimen pembangkang, manakala beberapa ahli parlimen pembangkang telah mengemukakan idea kerjasama dwiparti melalui perjanjian "keyakinan dan perbekalan."
Kesediaan Pakatan Harapan untuk menyokong Belanjawan 2021 berdasarkan jangkaan Zafrul akan memenuhi enam tuntutan gabungan itu.
Bagaimanapun, setakat ini tidak dapat dipastikan sekiranya gabungan parti pemerintah telah mencapai kesepakatan dengan mana-mana parti pembangkang.
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily