Berita Terkini

Akar umbi Amanah gesa pemimpin kembalikan mandat rakyat


Sekumpulan akar umbi parti Parti Amanah Negara (Amanah) dari seluruh negara tampil menggesa pimpinan parti supaya terus menjalinkan hubungan dengan pihak pembangkang lain dalam usaha untuk mengembalikan mandat rakyat pasca pilihan raya umum (PRU) ke-14 tanpa menggadaikan prinsip dan integriti.

Dalam satu kenyataan media yang ditandatangani oleh 34 pemimpin Pemuda Amanah, mereka menyeru kepimpinan parti agar mengambil pendirian tegas terhadap wakil rakyat dan ahli yang menyertai parti lain.

“Tindakan itu menyebabkan wujudnya suasana gusar dalam kalangan ahli.

“Kami menyokong keputusan pimpinan Amanah untuk mendukung Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

“Pada masa yang sama, kami juga menyokong pendirian Amanah untuk tidak menjadikan Dr Mahathir Mohamad sebagai seteru politik,” kata mereka tanpa menyebut sebarang nama tentang ahli yang menyertai parti lain.

Pada 17 November lalu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abd Samad mengesahkan menerima makluman yang Adun Meru di Selangor Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar memohon untuk menyertai PKR.

Katanya, dengan keputusan tersebut, keahlian dan semua jawatan dalam parti yang disandang oleh Mohd Fakhrulrazi terbatal serta-merta.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Fakhrulrazi bagaimanapun masih menutup mulutnya mengenai status keanggotaan partinya.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan sumber-sumber Amanah mendedahkan wujudnya dilema di kalangan pemimpin parti itu.

Menurut sumber itu, kepimpinan parti itu sekarang tidak menutup terus pintu kepada Dr Mahathir, walaupun komited dengan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar.

Bagaimanapun, pihak dalam Amanah yang dilihat rapat dengan Anwar pula dikatakan lebih selesa membuka lembaran baru tanpa Mahathir.

Dilema inilah yang dikatakan menyebabkan Fakhrulrazi dan Adun Sabak Ahmad Mustain Othman memilih PKR sebagai parti baru.

Selain mereka, dua lagi wakil rakyat Amanah - Adun Morib Hasnul Baharuddin dan Saari Sungib - turut dikaitkan dengan spekulasi itu tetapi menafikannya.

Naib Presiden Amanah, Husam Musa pada September lalu turut dikaitkan dengan spekulasi akan meninggalkan Amanah dan menyertai PKR tetapi dia menafikan perkara itu.

Sebelum ini, Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof menjelaskan tindakan Adun Meru keluar parti tidak ada kena mengena dengan 'fitnah keretakan kepercayaan' parti itu terhadap kepimpinan presiden PKR.

Mujahid ketika itu juga mengulas kepimpinan parti mengambil pendirian menyokong Dr Mahathir yang kini bersama parti baru, Pejuang.

Katanya, dakwaan itu berniat jahat dengan tujuan memburukkan imej Amanah serta sebagai satu serangan peribadi kerana mendakwa presiden parti, Mohamad Sabu sebagai penyebab kepada perpecahan dalam parti itu.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form