Berita Terkini

Mengalah kah Muhyiddin?


SELEPAS janji Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggantikannya sebagai Perdana Menteri kelapan tidak ditepati, barangkali adalah silap bagi mana-mana ahli politik mempercayai sekutu mereka membuta-tuli.

Dicongak sudah 11 kali Anwar dijanjikan, keluar masuk pejabat Dr. Mahathir, tetapi omong kosong belaka. Walaupun Anwar melagukan ‘que sera sera’ (apa yang terjadi, terjadilah), namun Dr. Mahathir tetap dengan ‘I did it my way’, bait-bait lagu My Way nyanyian Frank Sinatra.

Andai tulenlah isi perjanjian Pakatan Harapan pasal peralihan dari PM ke-7 ke PM ke-8 yang cukup tempoh dua tahun selepas Pilihan Raya Umum 2018, bermakna 9 Mei tahun ini Anwar sudah melangkah masuk Putrajaya.

Tetapi Dr. Mahathir secara tiba-tiba meletak jawatan Perdana Menteri 24 Februari lalu walaupun Agong meminta difikirkan keputusan tersebut. Ia sekali gus menamatkan ‘tempoh perjanjian’ peralihan PM ke-8.

Dan pagi ini seluruh rakyat Malaysia mahu menyaksikan hasil pertemuan Anwar dengan Yang di-Pertuan Agong. Apakah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga akan mengalah?

Secara konvensional, terdapat tiga cara bagaimana seorang Perdana Menteri boleh kehilangan kepercayaan Dewan Rakyat. Pertama, kalah undi tidak percaya yang dibentangkan oleh blok pembangkang. Kedua, kalah undi tidak percaya yang dikemukakan oleh blok kerajaan sendiri dan ketiga, tidak ada majoriti meluluskan belanjawan.

Perkara 55 (1) dan 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan menegaskan bahawa hanya dua orang yang boleh memutuskan sama ada pilihan raya umum mengejut boleh berlaku.

Orang pertama adalah Perdana Menteri. Jika Perdana Menteri tidak meminta pembubaran awal, Dewan Rakyat hanya akan dibubarkan lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama.

Tanpa permintaan beliau, Tuanku Agong pun tidak boleh membubarkannya.

Orang kedua ialah Seri Paduka. Baginda mempunyai budi bicara mutlak untuk sama ada memperkenankan permintaan Perdana Menteri itu.

Perkara 55 (1) tidak mengenakan sebarang syarat, waktu dan keadaan bagi Perdana Menteri untuk meminta pembubaran. Namun Perkara 43 (4) meletakkan permintaan tersebut sebagai salah satu daripada dua pilihan beliau “jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.”

Pilihan yang lagi satu adalah meletak jawatan, sekali gus memberi laluan untuk seorang ahli parlimen lain yang boleh mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat untuk menggantikannya sebagai Perdana Menteri.

Waima apapun, kuasa pengimbang politik Malaysia tetap dengan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Zulkifli Jalil
Timbalan Pengarang Utusan Malaysia


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

1 Comments

  1. Muhyudin hari ini adalah dilandasan yg betul...pertahan, perjuangkan utuk rakyat, bangsa, Agama selagi boleh dan masih ada peluang...selebihnya serahkan pd yg Maha Kuasa....

    ReplyDelete
Previous Post Next Post

Contact Form