Berita Terkini

Keputusan Putrajaya isytihar PKPB di Selangor mengejutkan, kata Amirudin


PETALING JAYA:
Keputusan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor tindakan mengejutkan, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau berkata, ini kerana keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor menunjukkan hanya Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling mempunyai bilangan kes membimbangkan.

“Kerajaan negeri berpandangan beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor masih terkawal.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan menghantar cadangan balas kepada pihak MKN dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, mesyurat MKN Selangor itu dihadiri Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi untuk pengumuman PKPB di daerah Petaling.

Terdahulu, Ismail memaklumkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan diletakkan bawah PKPB bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

Katanya, perjalanan rentas daerah juga tidak dibenarkan sepanjang PKPB itu.

Amirudin berkata, kerajaan negeri turut berharap semua pihak bersedia dengan perubahan itu supaya bersama mengawal penularan Covid-19.

“Kerajaan negeri juga sangat menghargai komunikasi krisis yang lebih efektif dan konklusif melibatkan semua pihak agar sebarang ketetapan yang diambil tidak menghasilkan sebarang bentuk ketidaktentuan pelaksanaan.

“Hal ini kerana ia akan memberi impak kepada petugas barisan hadapan, rakyat lebih-lebih lagi pengusaha industri kecil dan sederhana,” katanya.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form