Berita Terkini

Hari Kesihatan Mental Sedunia


Kesihatan mental adalah antara lapangan yang amat kurang diberi tumpuan dan juga pendanaan awam. Peri penting aspek kesihatan mental tidak boleh dikesampingkan, apatah lagi dalam suasana pandemik COVID-19.

Dapatan terkini menunjukkan sebanyak 44% warga Malaysia terkesan dengan masalah kesihatan mental sejak hari awal rempuhan wabak ini. Apa yang kita hadapi hari ini ternyata suatu yang tidak pernah kita alami sebelumnya, dan dampaknya sangat besar tatkala ia meningkatkan kegelisahan, tekanan dan kesunyian di kalangan warga yang terpaksa melalui fasa pengurungan dan sebagainya. Keadaan memburuk tatkala hilang pekerjaan dan sumber pendapatan harian.

Kanak-kanak juga terdedah dengan gangguan mental sebagai akibat dari sekolah-sekolah yang ditutup, perhubungan yang terhad dengan aktiviti ko-kurikulum, dan masa bersama rakan-rakan turut terkesan.
Ada juga sebilangan warga yang terpaksa dihadapkan dengan gejala penderaan di rumah dan tekanan akibat terkurung.

Dalam situasi ekonomi yang meruncing masa kini, kerajaan seharusnya bekerja untuk memastikan dana yang munasabah diperuntukkan dalam membendung gejala ini. Pendanaan yang cukup mesti diperuntukkan dalam mendukung mereka yang terkesan dengan masalah mental, termasuk mereka yang di barisan hadapan.

Jangan kita pinggirkan mereka yang terdedah pada gejala ini, dan stigma mesti ditangani sebaiknya. Mereka tidak harus berasa sunyi. Malah kita mesti tingkatkan semangat kebersamaan dalam mendukung antara satu dengan yang lain dalam suasana krisis hari ini.

ANWAR IBRAHIM

______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form