Berita Terkini

Hari-hari Macau Scam berjaya tipu orang


Hari-hari masyarakat akan terbaca mangsa berputih mata akibat ditipu sindiket Macau Scam. Modus operandinya sama iaitu hantaran bungkusan hadiah, kes mahkamah atau terlibat pengubahan wang haram. Mangsa yang tertipu pula membabitkan semua lapisan daripada suri rumah sampailah kepada doktor, pensyarah malah ada juga peguam.

Semua kes, mangsa cepat sahaja memindahkan wang kepada ahli-ahli sindiket yang menghubungi mereka. Bukan sikit ada sampai jutaan ringgit berpuluh traksaksi .

Kerja cari duit ahli sindiket mudah hanya dibekalkan nombor telefon, mereka akan menghubungi sasaran. Dalam sehari jika seorang masuk perangkap memadai untuk memperoleh pendapatan lumayan.

Sebenarnya, ahli sindiket tidaklah bijak mana kerana modus operandi mereka hanya menggunakan ayat kitar semula dibekalkan penyelia. Jika disergah, terus mereka matikan talian . Hanya segelintir yang `nakal’ berbalas jawapan dengan mangsa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sendiri pernah dihubung sindiket Macau Scam tetapi berakhir dengan talian dimatikan selepas kena sergah.

Polis merekodkan RM405.7 juta rakyat Malaysia rugi ditipu Macau Scam dalam tempoh tiga tahun ini. Jumlah tersebut melibatkan 6,552 kes dilaporkan sejak 2018 hingga September lalu. Penduduk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang dicatatkan paling ramai kena tipu.

Bila nasi sudah jadi bubur, bukan mangsa seorang bingung, pihak berkuasa dan bank pun keliru. Peringatan demi peringatan dihebahkan oleh polis dan institusi kewangan namun angka penipuan sindiket itu terus meningkat.

Kebelakangan ini, polis mendedahkan mangsa Macau Scam banyak membabitkan pesara. Penjenayah seolah-olah tahu pesara banyak duit jadi golongan itu kini menjadi sasaran.

Ada juga sindiket menyasarkan mangsa di luar negara tetapi berpangkalan di negara ini. Hujung tahun lalu, imigresen menahan 680 warga China di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya yang didapati membuat panggilan ke China mencari mangsa nb.

Kelmarin, pendedahan Suruhanjaya Penegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengejutkan semua orang apabila agensi itu menahan lapan pegawai polis antaranya berpangkat Asisten komisoner (ACP), Superintendan, Deputi Superintenden (DSP) dan Inspektor yang disyaki melindungi penjenayah Macau Scam.

Justeru, dinasihat jangan sesekali melayan panggilan telefon yang minta kita buat transaksi wang agar kita tidak melopong selepas itu.

Teon Eg
Pengarang Berita Utusan Malaysia


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form