Berita Terkini

Gencatan politik langkah terbaik tangani wabak Covid-19


KUALA LUMPUR –
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyeru semua pihak melakukan gencatan politik supaya kerajaan dan rakyat dapat menumpukan perhatian dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, dalam suasana negara dan rakyat dicengkam kebimbangan susulan peningkatan mendadak kes wabak itu, tidak wajar untuk bercakap, bertindak dan memanipulasi isu politik ketika ini.

“Saya percaya selepas usainya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan lalu dan disusuli dengan bertambahnya kes Covid-19, rakyat sudah muak untuk melayan sebarang polemik politik negara.

“Saya juga berpandangan pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) perlu membuat pendirian untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sarawak yang sepatutnya diadakan selepas kematian penyandangnya, Liew Vui Keong,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, keputusan tidak bertanding itu wajar diambil atas faktor mengelakkan berlaku situasi dan suasana tidak terkawal ketika proses berkempen, seterusnya dalam membendung penularan pandemik Covid-19.

Eddin Syazlee turut meminta Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang difahamkan mahu memulakan langkah politik beliau membentuk kerajaan baharu, menangguhkan dahulu sebarang hajat politik berkenaan sehingga kes Covid-19 dapat ditangani sebaik mungkin.

Katanya, jika pemimpin dan ahli politik masih galak bercakap dan memainkan isu retorik, akan menimbulkan kemarahan rakyat dan menuduh orang politik hanya mementingkan kuasa berbanding kestabilan serta keselamatan negara.

“Sudahlah selepas PRN Sabah, orang politik dilemparkan pelbagai tuduhan dan tohmahan sebagai punca peningkatan kes Covid-19, kita tidak mahu rakyat terus mempunyai persepsi negatif terhadap kumpulan kita.

“Seeloknya kita semua memberi ruang dan peluang serta membantu kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan dalam usaha melawan pandemik Covid-19 ini.

“Saya juga berdoa semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita membendung wabak ini dan semoga Allah menghapuskan Covid-19 di Malaysia serta seluruh dunia,” katanya. – MalaysiaGazette


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form