Berita Terkini

Anak Mat Sabu fail rayuan sabitan kes dadah


Anak bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam Mohamad memfailkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang dijatuhkan terhadapnya atas tuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka tahun lepas.

Perkara itu dimaklumkan peguam Muaz Zafar yang mewakili Ahmad Saiful Islam, 32, selaku perayu kepada pemberita selepas pengurusan kes dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Maryam Jamielah Ab Manaff.

"Notis rayuan itu difailkan sekitar Jun tahun ini dan hari ini mahkamah menetapkan 13 Nov untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi yang sama. Pihak kami juga masih menunggu alasan penghakiman dan nota keterangan untuk kes ini," kata Muaz.

Prosiding hari ini turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi dan Ahmad Saiful Islam.

Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap Ahmad Saiful Islam selepas didapati bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan dadah.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Ahmad Saiful Islam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah juga mengarahkannya menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.

Mahkamah memerintahkan Ahmad Saiful Islam menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh keputusan (24 Jun) bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara rayuan di Mahkamah Tinggi dan memerintahkan tertuduh membayar wang jaminan RM9,000 serta menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 2.05 pagi, 5 Jan 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Pada 3 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Saiful Islam membela diri terhadap pertuduhan itu.

Enam saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu yang bermula 15 Okt tahun lepas.

- Bernama



______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form