REMBAU: Semua menteri dan timbalan menteri UMNO yang menyertai Kabinet Perikatan Nasional (PN) ketika ini dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu dan bukannya individu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata sehubungan itu syor Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah meminta pemimpin parti itu berundur daripada jawatan Kabinet sebagai memprotes Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menerima bukan Melayu, adalah tidak terpakai.
"Keputusan kita menyertai Kabinet dibuat MKT. Semua terikat keputusan MKT dan kalau MKT buat keputusan tidak mendukung kerajaan sedia ada, maka itu arahan bagi kita untuk tidak menyertai Jemaah Menteri.
"MKT ialah badan tertinggi dan lebih tinggi daripada mana-mana individu dalam parti. Kita semua kena mendukung kerajaan sedia ada. Itulah pendirian kita yang dibuat secara kolektif," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Minggu Sains Negara (MSN) Peringkat Negeri Sembilan 2020 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Rembau di sini, hari ini.
Mengenai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Khairy yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau berkata, setakat ini tiada cadangan calon lain.
"Selagi kita mendukung kerajaan sedia ada, maka Perdana Menteri ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Saya pun sudah keluarkan kenyataan setakat ini tiada lebih berwibawa daripada Muhyiddin sama ada daripada UMNO, PAS atau PN sendiri.
"Kita lihat dari segi penerimaan rakyat dan hasil dapatan badan penilai. Itu hakikatnya," katanya.
Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pula, beliau berharap Umno dapat bertanding lebih banyak kerusi.
"Umno wajar menerima kerusi lebih banyak namun dari segi formula, itu terserah kepada pucuk pimpinan," katanya. - BH
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily