Berita Terkini

Suspek bunuh ibu, humban mayat dalam lubang kumbahan tak sakit mental


BALIK PULAU: Lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan warga emas yang mayatnya ditemukan di dalam lubang kumbahan najis di Kampung Sungai Burung, di sini, pada Isnin, tidak mengalami masalah mental.

Ketua Polis Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata berdasarkan siasatan dan pemeriksaan yang dijalankan, lelaki berusia 29 tahun itu tidak pernah didaftarkan di mana-mana pusat psikiatri atau hospital mental untuk menerima rawatan.

"Namun, siasatan polis mendapati lelaki yang tidak bekerja itu positif ketagihan petrol sahaja dan menyebabkan dia khayal dan berhalusinasi. Suspek akan berkelakuan seperti individu normal apabila tidak berada di bawah pengaruh petrol," katanya pada sidang akhbar, di sini, Jumaat.

Beliau berkata siasatan lanjut dan terperinci masih dijalankan dan pihaknya tidak hanya bergantung kepada pengakuan suspek semata-mata.

"Kami masih mengumpulkan bukti kes ini dan tidak menolak kemungkinan untuk mengemukakan permohonan bagi menyambung reman lelaki itu sekiranya siasatan tidak dapat diselesaikan sehingga Selasa depan," katanya.

Mahkamah Majistret Balik Pulau membenarkan lelaki itu yang ditahan pada Selasa iaitu sehari selepas kejadian di Jalan Air Putih, di sini itu direman sehingga Selasa ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada Isnin, mayat Faridah Hashim ditemui menantu lelakinya pada 2.30 petang semasa mencari ibu mentuanya di sekeliling kawasan rumah, selepas wanita berusia 63 tahun itu dikatakan hilang sejak 19 September lepas dan anggota keluarganya membuat laporan polis berhubung kehilangan itu pada 21 September.

Polis dengan bantuan pihak bomba mengambil masa lebih dua jam untuk mengeluarkan mayat wanita itu yang sudah berulat dan hasil pemeriksaan awal pasukan forensik menemui kesan kelar di bahagian depan lehernya.-Bernama

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form