PUTRAJAYA - Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya selama enam hari lagi bagi membantu siasatan kes rasuah.
Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan SPRM melanjutkan tahanan reman terhadap kedua-dua lelaki itu bermula esok sehingga 5 Oktober ini.
Bagaimanapun, seorang lagi suspek, yang juga sepupu Abdul Azeez, dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin selepas SPRM tidak meminta lanjutan reman.
Kesemua suspek sebelum ini direman selama empat hari bermula Rabu lepas bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.
Menurut jurucakap SPRM, Ahli Majlis Tertinggi Umno itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi Selasa lepas di ibu pejabat suruhanjaya itu di sini, selepas hadir memberi keterangan.
Katanya, SPRM menahan abang Abdul Azeez setengah jam kemudian di sebuah lokasi di Sungai Buloh, Selangor, manakala sepupu mereka yang juga seorang pengarah syarikat berusia 36 tahun, ditahan pada 5.30 petang hari yang sama di Putrajaya.
Terdahulu, ketibaan Abdul Azeez pada pukul 9.30 pagi dengan berpakaian lokap SPRM dan tangan bergari, disambut oleh kira-kira 120 penyokongnya yang menunggu di pekarangan mahkamah sejak pukul 8 pagi. - Bernama
NADIREFORMASI
http://nadireformasi.blogspot.com/
Tags
Sisipan